Friday, September 15, 2006



Forum “Pensejarahan Semula Perjuangan Merdeka”

Penganjur:
(a) Youth for Change (Y4C)
(b) Kuala Lumpur & Selangor Chinese Assembly Hall Youth Section

Tarikh: 14 September 2006 (Khamis)
Masa: 8.00pm-10.30pm
Tempat: Auditorium, KLSCAH

Sejarah Kemerdekaan sebenar - Jasa dan pengorbanan pejuang-pejuang sebenar mesti dirakamkan, dikenangi dan disanjungi

Bendera Union Jack diturunkan di hadapan Banguanan Sultan Abdul Samad, Padang Kelab Selangor (kini Dataran Merdeka) pada pukul 12.00 tengah malam 30 Ogos 1957 sebagai menandakan berakhirnya penguasaan British di Malaya.

Tanggal 31 Ogos 1958 di Stadium Merdeka, Duke of Gloucester yang mewakili Ratu Elizabeth II menyerahkan dokumen pengisytiharaan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu kepada Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri yang pertama.

Tunku melaungkan “MERDEKA” tiga kali dan disambut dengan laungan yang sama oleh ribuan rakyat yang berbilang kaum sebagai menandakan tamatnya pemerintahan British di Malaya.

Jasa Tunku dan rakan-rakannya dalam Perikatan telah direkodkan dalam sejarah rasmi dan Tunku sendiri diiktirafkan sebagai Bapak Merdeka.

Tetapi jasa dan pengorbanan pejuang-pejuang sebenar yang lain mesti juga direkodkan dalam sejarah rasmi, dan dikenangi dan disanjungi oleh kita semua.

Itulah sebab saya menulis sebuah artikel yang bertajuk “The real Independent fighters” (pejuang-pejuang kemerdekaan yang sebenar) untuk memberi penghormatan kepada mereka. Saya juga ingin generasi muda memahami sejarah kemerdekaan yang sebenar dan jangan menerima versi rasmi semata-mata.

Ada beberapa fakta yang saya ingin sentuh di sini :

1. Pengenalan Malayan Union pada tahun 1946 merupakan usaha British untuk menghapuskan negara dan bangsa yang telah dibina sekak zaman Kesultanan Melayu Melaka. Kuasa politik orang Melayu telah dikurangkan dan ini telah membangkitkan semangat orang Melayu untuk menentang penjajahan British.

Semua parti politik termasuk PKMM yang dipimpini Ahmad Boestamam membantah Malayan Union. Buku teks Sejarah tingkatan lima yang ada hari ini mengatakan PKMM, API , AWAS dan BATAS menyokong Melayan Union adalah satu pembohongan.

“Dalam Kongres PKMM (1 Mach – 4 mach 1946), pucuk pimpinan PKMM bersetuju menyertai Kongres UMNO yang akan berjuang menetang Malayan Union. Keputusan diambil berdasarkan bahawa “ Melayan Union yang akan menjadi tanah jajahan British bulat-bulat tidak ada gunanya kepada rakyat jelata sebab ia bererti perhambaan ke atas mereka semata-mata.Sebab itu ia harus ditentang habis-habisan dan dihancurkan sehingga menjadi debu.

Prinsip penentangan PKMM ini haruslah didasarkan atas kepentingan rakyat jelata dan demi membela maruah dan kedaulatan mereka dan bukan didasarkan untuk membela kedudukan kaum feudal.

Berdasarkan hakikat ini perwakilan PKMM haruslah menghadiri kongres bangsa Melayu tersebut untuk mengemukakan sikap dan pendirian itu.Dengan lain perkataan, PKMM “bersetuju Malayan Union ditentang dan dihancurkan dengan tenaga raksasa seluruh rakyat tetapi di atas runtuhan Melayan Union itu MALAYA MERDEKA SERATUS PERATUS haruslah ditegakkan. Rombongan PKMM diketuai oleh pengerusinya Dr Burhanuddin Al-Helmy.”

- dipetik dari “Merintis Jalan Ke Punchak”, Ahmad Bostamam


2. Satu faktor utama mengapa Persekutuan Tanah Melayu dibentukkan pada 1 Februari 1948 untuk menggantikan Melayan Union adalah kerana UMNO tidak menuntut kemerdekaan pada masa itu.

“British memilih UMNO dan Raja-Raja Melayu kerana kedua-duanya hanya menuntut rundingan untuk menolak Malayan Union, Mereka tidak menuntut kemerdekaan daripada British. Faktor inilah yang menyebabkan British menerima pembentukan Persekutuan Tanah Melayu. British juga bimbang orang Melayu akan dipengaruhi oleh gerakan politik Indonesia yang dikuasai oleh golongan radikal seperti PKMM, API,AWAS dan BATAS. Tambahan pula, Piagam Atlantik 1945 yang dikeluarkan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) tidak menggalakan penjajahan baru, sebaliknya, meminta negara-negara kolonial memberikan latihan berkerajaan sendiri kepada penduduk tempatan.” (Dipetik daripada buku teks Sejarah tingkatan 5).

Sebenarnya, parti-parti yang terawal memperjuangkan untuk kemerdekaan bukannya UNMO dan Perikatan. Slogan “Merdeka” adalah slogan PKMM yang ditubuhkan lebih awal daripada UMNO. Slogan UMNO ialah “ Hidup Melayu”. UMNO menggunakan slogan “Merdeka” hanya selepas tokoh politik seperti Tun Ghafar Baba menyertai UMNO.

Kenapa Perikatan dipilih oleh British sebagai “partner” politik mereka

Memang tidak boleh dinafikan bahawa najoriti pejuang-pejuang kemerdekaan seperti pemimpin-pemimpin Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) bercorak sosialis. Mereka dianggap sebagai memihak kepada Parti Komunis Malaya (PKM).

Oleh itu, British merasa lebih senang dan selesa dengan pemimpin-pemimpin Perikatan yang bercorak kapitalis. Tunku dan rakan-rakannya dalam Perikatan dianggap sebagai kawan orang British.

British percaya bahawa kepentingan ekonomi mereka tentu akan dirampas dan hilang sama sekali jika PKM atau parti bercorak sosialis dibenarkan memerintah Malaya.

Oleh demikian, PKMM dan pertubuhan politik berhaluan kiri yang lain diharamkan dan para pemimpinnya dipenjarakan. Rundingan kemerdekaan hanya boleh dijalankan di antara British dan pemimpin Perikatan.

Dua faktor yang mempercepatkan Kemerdekaan

Dalam manifesto pilihan raya umum tahun 1955, Perikatan berjanji untuk berusaha mencapai kemerdekaan dalam tempoh empat (4) tahun. Namun, kemerdekaan dapat dicapai dalam tempoh yang lebih singkat, iaitu dua tahun lebih awal.

Ini adalah kerana dua faktor yang tidak boleh dinafikan. Pertama, kesanggupan ketiga-tiga kaum terbesar bertolak ansur dan berkerjasama dalam satu parti politik bagi menyelesaikan segala masalah yang sulit sebelum memulakan usaha ke arah kemerdekaan. Kedua, wujudnya ancaman komunis dan kesan-kesan darurat*.

Kerajaan British meletakkan syarat bahawa setelah ketiga-tiga kaum terbesar boleh bertolak ansur dan berkerjasam dalam bidang politik, barulah mereka bersedia merundingkan soal kemerdekaan.

Syarat ini dikenakan dengan alasan untuk mengelakkan kekacauan dan pertelingkahan antara kaum.British merasakan bahawa ketiga-tiga kaum terbesar tentu akam memgambil masa yang panjang untuk menyelesaikan pelbagai perbezaan yang wujud di kalangan mereka. Halangan ini akan membolehkam British terus mengekalkan kuasa pemerintah di Malaya.

Namun, anggapan itu ternyata meleset kerana kemenangan besar Perikatan dalam pilihan raya umum tahun 1955 mendorong mereka untuk menyelesaikan banyak perkara dengan lebih mudah, setelah mendapat mandat besar dalam pilihan raya.

Ancaman komunis dan darurat juga turut mempercepatkan lagi usaha ke arah kemerdekaan.

Darurat membolehkan kerajaan British berkerjasama dengan penduduk tempatan untuk menumpukan tenaga untuk menghapuskan ancaman komunis. Kerajaan British sedar bahawa usaha untuk memerangi ancaman komunis tidak boleh dilaksanakan melalui tindakan ketenteraan semata-mata. Sebaliknya, perubahan politik dan perlembagaan juga perlu di ambil kira. Oleh itu, kemerdekaan yang dicapai telah melemahkan percubaan PKM untuk mempengaruhi orang ramai dengan menggunakan dasar antipenjajahan.

Selain itu, dasar Perikatan yang berasaskan system ekonomi bebas telah menyakinkan kerajaan British kerana dasar tersebut membolehkan syarikat dan pemodal British meneruskan perniagaan di Malaya selepas merdeka. Kepentingan ekonomi British akan terus dipelihara, tanpa merasa bimbang diambih alih oleh kerajaan baru.

Kemerdekaan tercapai tetapi kepentingan masyarakat bukan Melayu dikorbankan

Saya tidak bercadang berucap panjang lebar dalam hal ini tetapi ada beberapa perkara yang saya ingin sentuh untuk pengetahuan dan rujukan semua.

1. Tun Tan Cheng Lock tidak mewakili MCA dalam rundingan kemerdekaan penentuan di London yang berlangsung selama tiga minnggu, iaitu dari 18 Januari hingga 8 Februari 1956. (Nota: Kemerdekan tercapai dalam rundingan ini dan 31 Ogos 1957 ditetapakan sebagai hari kemerdekaan bagi Malaya).

Pengasas merangkap Presiden MCA Tun Tan Cheng Lock merupakan pemimpin yang sedia mempertahankan hak-hak asasi masyarakat Cina dan beliau bagi pihak MCA memang pernah memberi jaminan kepada komuniti Cina bahawa segala tuntutan mereka akan dibawa ke meja rundingan kemerdekaan. Tetapi akhirnya beliau tidak mewakili masyarakat Cina. Beliau dikatakan “tidak sihat” untuk pergi ke London. Tempat beliau diambil alih oleh Tun Sir H S Lee. Apakah Tun Tan selaku Presiden MCA tidak layak untuk menyertai rundingan? Masyarakat Cina pada masa itu sering bertanya, adakah HS Lee dan TH Tan berani mengemukakan tuntutan-tuntutan komuniti Cina di atas meja rundingan? MCA tidak dapat memberi penjelasan yang memuaskan sehingga hari ini.(Nota: Tun Tan juga tidak memegang sebarang jawatan dalam Kabinet pertama tahun 1955. Beliau ditewaskan oleh Tun Dr Lim Chong Eu pada Mac tahun 1958.)

2. T.H. Tan membuang Memorandum Tuntutan Masyarakat Cina ke dalam tong sampah

Seorang lagi yang mewakili masyarakat Cina dalam rundingan kemerdekaan ialah Tan Tong Hai selaku Setiausaha Perikatan. Mengikut Tunku dalam satu artikel yang disiarkan dalam The Star, T.H.Tan telah membuang Memorandum Tuntutan Masyarakat Cina ke dalam tong sampah di sebuah bilik hotel di London.

Rupa-rupanya MCA telah bermula menggadaikan kepentingan dan hak-hak asasi kaum Cina sejak dari era kemerdekaan!

3. MIC tidak diberi peluang menghantarkan wakil untuk rundingan kemerdekaan di London yang berlangsung dari 18 Januari hingga 8 Februari 1956.

Seorang pemimpin yang dianggap berhak mewakili Malaya dalam rundingan kemerdekaan tetapi juga tidak dijemput bersama ialah V.T. Sambanthan, walaupun beliau berada di London. MIC tidak langsung diberi peluang duduk atas meja rundingan kemerdekaan pada 18 Januari 1956. Wakil rundingan kemerdekaan terdiri daripada Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Ismail ( UMNO), Tun Sir HS Lee(MCA) dan T.H. Tan ( Setiausaha Perikatan). Mengapa Pengerusi MIC Tun Sambanthan tidak dijemput ke meja rundingan kemerdekaan? Bukankah British telah meletakkan syarat bahawa ketiga-tiga kaum terbesar mesti diwakili dan berkerjasama? Siapa yang mewakili komuniti India untuk menuntut hak-hak asasi mereka? MIC juga bisu dalam perkara ini sampai hari ini.

*Ancaman komunis dan kesan-kesan darurat –

Kesan politik- terdapat 4 alsan utama yang memaksa British mempercepatkan proses kemerdekaan:

1. Semakin ramai penduduk tempatan merasa tidak puas hati terhadap pemerintahan British. Keengganan memberi kemerdekaan mungkin boleh membawa kepada kebangkitan rakyat secara menyeluruh menetang kuasa penjajah seperti yang berlaku di Indonesia dan Indo-China.
2. Kerajaan British bimbang Malaya akan diperintah komunis, jika mereka lambat memberi kemerdekaan.Kebimbangan itu semakin jelas apabila PKM bertindak melancarkan pemberontakan bersenjata untuk mengusir British kelaur dari Malaya. Oleh itu, British perlu mangambil tindakan segera menarik sokongan penduduk tempatan supaya tidak memihak kepada PKM. Satu daripada strategi itu ialah melalui saluran politik dan perlembagaan.
3. Melalui pemberian taraf berkerajaan sendiri dan seterusnya kemerdekaan, PKM tidak ada alasan lagi untuk untuk meneruskan perjuangan mereka.
4. British berhasrat untuk memelihara dan mengekalkan hubungan politik yang berterusan dengan Malaya selepas merdeka bagi menjamin kepentingan ekonomi mereka, terutamnya dalam sector perlombongan dan perladangan.

Pada peringkat awal, British mengambil tindakan keras terhadap parti-parti politik berhaluan kiri yang dilihat bersimpati dengan perjuangan PKM. Ramai pemimpin politik kiri diberkas dan dipenjarakan seperti Ahmad Boestamam dan Ishak Haji Muhammad(Pak Sako).

Parti-parti politik yang terpaksa dibubarkan seperti PKMM, Angkatan Pemuda Insaf (API )dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS).

Kesan ekonomi – British membelanjakan sebanyak $ 250,000 hingga $ 300, 000 setiap hari bagi tujuan keselamatan untuk membanteras pemberontakan bersenjata PKM. Bagi keperluan pertahanan, British membelanjakan sebanyak $ 136.2 juta dan sejumlah $721.9 juta lagi dibelanjakan sepanjang tempoh darurat untuk melengkapkan pasukan keselamatan. Pada tahun 1953, Malaya mengalami defisit sebanyak $1.46 juta.

Tindakan PKM memyebabkan banyak ladang dan lombong menjadi sasaran serangan dan tindakan sabotaj. Serangan ke atas landasan kereta api dan kenderaan awam menjejaskan kegiatan perdagangan.


PKM dan Rundingan Baling 1955

Pada awal bulan Jun 1955, kerajaan British di Malaya menerima sepucuk surat daripada wakil “Ibu Pejabat Pemerintah Tertinggi Tentera Pembebasan Malaya” yang dihantar dari Haadyai di selatan Negara Thai. Dalam surat tersebut, Chin Ping menyatakan PKM bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum pertama yang dijadualkan pada 27 Julai 1955. Permintaan ini ditolak oleh British.

Pilihan raya umum menyaksikan kejayaan besar Perikatan dengan menguasai 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. PAS menang hanya satu kerusi dan Parti Negara pimpinan Datuk Onn Jaffar tewas dalam semua kerusi.

Pada 9 September 1955, Tunku selaku Perdana Menteri menawarkan pengampunan beramai-ramai kepada Chin Ping dan semua komunis yang pernah melakukan pembunuhan. Twawaran itu diumumkan melalui 40 juta risalah yang digugurkan dari kapal terbang ke dalam hutan belantara.

Tiga minggu kemudian, Chin Ping memberi jawapan secara bertulis menminta diadakan satu gencatan senjata yang disusuli dengan rundingan untuk menamatkan darurat. Surat itu dialamatkan kepda Tunku, David Marshal dan beberapa ahli politik yang lain.

Selepas mendapat kebenaran daripada British, Tunku memberi jawapan bahawa beliau bersedia merunding dengan Chin Ping. Rundingan itu dijadualkan berlangsung dalam empat sesi selama dua hari, iaitu pada 28 dan 29 Disember 1955 di Baling. Dalam rundingan itu, Tunku mencadankan supaya PKM meletakkan senjata dan meyerah diri tanpa syarat serta menerima pengampunan daripada pihak kerajaan. Chin Ping enggan menerima cadangan itu dan menuntut PKM dibenarkan bergerak sebagai parti politik yang sah. Tuntutan itu ditolak oleh kerajaan. Rundingan Baling berakhir tanpa sebarang keputusan muktamad.

Semasa Malaya mencapai kemerdekaan, Chin Ping sekali lagi menulis kepada Tunku pada 12 Oktober 1957 dan meminta diadakan semula rundingan, tetapi pihak kerajaan menolak permintaan itu tanpa memberi sebarang penjelasan.

Oleh itu, PKM telah membuktikan bahawa mereka berhasrat untuk menamatkan perjuangan bersenjata mereka selepas kemerdekaan tetapi malangnya permintaan mereka ditolak oleh Kerajaan Perikatan pimpinan Tunku Abdull Rahman. Banyak nyawa tidak akan berkorban jika permintaan tersebut diterima oleh kerajaan Perikatan.

/ Ronnie Liu Tian Khiew (liu.ronnie@gmail.com)


(Source of reference: Sejarah Malaysia, Rulan Zainuddin, Ed II, Penerbit Fajar Bakti.)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home